Followers

Monday, May 20, 2013

I'm proud of you..my beloved niece...

AQILAH JULANG MARUAH KELUARGA

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
“Ayah meninggal dunia amat muda dalam usia 39 tahun, akibat sakit jantung pada 20 Ogos 1999. Ayah pergi kala kami sekeluarga sebenarnya amat mendambakan pembelaan dan perlindungan daripadanya. Bayangkan, emak mewarisi lapan orang anak yang semuanya masih dalam usia serba mentah. Saya anak sulong emak dan saya dapat melihat sendiri, betapa sabar dan jerihnya emak membesarkan kami anak-anaknya.“
Demikianlah perkongsian kisah penuh nostalgia Aqilah binti Amir Jamalullail, 24 yang berpeluang diwawancara buat mewarnai kanvas Jejak Asnaf pada episod kali ini. Aqilah ditemui lewat Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2012 di Shah Alam baru-baru ini. Beliau diangkat sebagai ikon anak asnaf cemerlang dan dijemput khas dalam sesi perkongsian pengalaman dengan semua peserta program.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) berharap, kejayaan yang pernah ditempa oleh Aqilah mampu menjadi obor pembakar semangat juang semua warga asnaf yang lain, khususnya kepada generasi kedua asnaf. Tiada kalimah gagal jika diri mahu mencuba dan Aqilah, walaupun zahirnya hanya bertubuh kecil molek; namun sudah pun merealisasikannya.
“Saya masih ingat, orang-orang kampung mengejek kami dengan sindiran yang sinis dan menyakitkan hati. Telinga saya sendiri mendengar, ada orang berkata, hati-hati apabila berjumpa dengan emak dan kami anak-anaknya, sebabnya emak beranak ramai.
“Saya rasa, mungkin mereka takut jika berbuat baik dengan emak, nanti kami anak-anak emak akan menumpang kebaikannya. Bayangkan, jika lapan anak mahu diajak makan sekali di kedai makan, bukankah ia sesuatu yang membebankan?” Sambung Aqilah lagi sambil merenung kisah silam yang amat menghiris perasaan.
“Walau bagaimanapun, mujurlah pencen ayah sebagai seorang anggota polis yang berpangkat inspektor, agak besar juga bagi menampung keperluan kami sekeluarga. Dengan pencen itulah, emak telah memanfaatkannya demi kami semua. Semuanya ditatang bagaikan minyak yang penuh, sebagai amanah daripada Allah, tanpa rintih dan tiada keluh.” Tambah Aqilah lagi.
Kata Aqilah lanjut, kala itu emaknya Rukiah binti Mahmood tidak dapat bekerja lantaran bimbangkan keselamatan anak-anak jika ditinggalkan sendirian di rumah tanpa seliaan sesiapa.
“Kemudian, pada tahun 2005 emak bawa anak-anak pindah ke Selangor. Pada tahun itu jugalah, kami diberikan bantuan zakat oleh pihak LZS. Bantuan ini amat diperlukan oleh emak dan kami tidak menyangka, semuanya kami perolehi di Selangor. Bagi saya, LZS benar-benar memahami keperluan asnaf seperti emak. Bantuan itu, amat besar maknanya kepada kami semua.”
Benar, LZS melihat potensi Aqilah dan adik-adiknya cukup besar. Lantaran itu, antara bantuan yang disalurkan ialah bantuan pendidikan, demi membolehkan mereka belajar tanpa gangguan.
“Dalam persekolahan, saya memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Manong. Selepas ayah pergi, saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bernadettes Convent, Bt. Gajah. Alhamdulillah, walaupun hidup dalam serba kesederhanaan, saya masih mendapat pencapaian 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Pada tahun 2000 itu jugalah, saya telah dianugerahkan Tokoh Sahsiah Sekolah di samping turut menjawat jawatan Ketua Pengawas Sekolah.
“Kemudian, dengan keputusan yang cemerlang itu, saya telah dipilih memasuki Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan. Sekolah ini menempatkan hanya pelajar-peajar yang cemerlang dalam akademik. Saya tidak mahu mensesiakan harapan emak, maka saya tidak membuang masa dan cuba mengekalkan kecemerlangan.
“Alhamdulillah, sekali lagi Allah SWT memberkati perjuangan saya dan kali ini, saya mendapat 8A di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), iaitu pada tahun 2003. Saya merasa puas, kerana setakat ini saya tidak mensesiakan harapan yang emak semaikan. Namun, saya tahu masih ada ujian lebih besar menunggu, iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).” Ujar Aqilah selanjutnya.
Menurut Aqilah, semasa di SMS Teluk Intan, beliau tidaklah sahaja menumpukan perhatiannya kepada akademik semata-mata. Ini kerana, Aqilah sedar bahawa pencapaian akademik yang baik perlulah diiringi dengan kejayaan dalam bidang ko-kurikulum yang juga baik. Gabungan kedua-dua bidang ini pasti menjadi nilai tambah bagi dirinya, berbanding orang lain yang mungkin hanya cemerlang dalam satu bidang sahaja.
Apatah lagi, Aqilah memang mendambakan penajaan daripada mana-mana pihak demi melayakkannya terus mencipta kejayaan dalam dunia pendidikan. Pihak penaja juga hanya akan memilih yang terbaik untuk diberikan biasiswa. Maka, Aqilah perlu membuktikan bahawa kesibukannya menjawat pelbagai jawatan bukanlah batu penghalang kejayaan, khususnya dalam pendidikan.
“Sewaktu di SMS Teluk Intan, saya pernah memegang jawatan Ketua Pengawas Puteri. Ia adalah satu jawatan yang berat, kerana menjadi ketua pengawas hakikatnya adalah jawatan tertinggi di sesebuah sekolah. Namun berkat ketekunan, alhamdulillah akhirnya saya berjaya menguasai semua keadaan.
“Dalam SPM tahun 2005, saya telah menggondol keputusan terbaik 10A1 dan sekaligus telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar dan mendapat status Pelajar Terbaik SPM. Bagi saya, inilah hadiah termahal yang dapat saya berikan kepada emak yang begitu sabar membesarkan dan mendoakan saya selama ini.” Sambung Aqilah lagi.
Sesudah mendapat keputusan yang baik dalam SPM, Aqilah telah ditawarkan biasiswa oleh Petronas bagi menyambung pengajiannya ke luar negara. Bagi Aqilah, anak orang miskin sepertinya apabila ditawarkan biasiswa seperti itu, ia ibarat rembulan jatuh ke riba.
“Saya pun menyambung pendidikan ke kolej persediaan dan kemudiannya, berjaya menempatkan diri di Monash University, Melbourne, Australia. Saya menyambung dalam bidang Geosains. Berkat usaha di sana, pada tahun kedua di Monash, saya merupakan salah seorang daripada empat orang pelajar terbaik dalam subjek Geografi dan Sains Persekitaran.
“Kini, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana sepulang sahaja ke tanah air, pihak Petronas terus mempelawa saya untuk menempati posisi di salah sebuah entiti miliknya. Kini, saya sudah pun diambil bertugas sebagai Geosaintis Eksplorasi di Petronas Carigali Sdn. Bhd.” Tuntas Aqilah menamatkan bicara.
Inilah secebis kisah kejayaan seorang anak asnaf, yang membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah batu penghalang kejayaan; sebaliknya ia menjadi batu loncatan kecemerlangan. Adik-adiknya juga kini sedang menekuni diri di pelbagai IPT, antaranya adik keduanya di Universiti Pertahanan Malaysia, adik ketiga di Universiti Teknologi Mara dan adik keempatnya di Universiti Malaya. Semoga Allah SWT terus memberkahi mereka, amin.